Kontroversi

SKANDAL FOREX YANG MERUGIKAN BERBILION RINGGIT, SIAPA BERTANGGUNGJAWAB SEBENARNYA?

loading...

sumber : soscili.my

Makin dekat kita dengan PRU, makin banyak isu-isu yang mula didedahkan. Sampaikan ada kes yang dah berpuluh tahun pun mula dibangkitkan. Baru-baru ni, kerajaan sampaikan bersetuju tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 90-an dulu atau dikenali sebagai Skandal Forex/Skandal Bank Negara.
Sebelum ini juga, Bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Murad Khalid ada mendedahkan yang BNM rugi sebanyak USD10 bilion (kira-kira RM44 bilion nilai sekarang), sebab terlibat dalam aktiviti perdagangan mata wang dari tahun 1991 sampai 1993. Apa yang membingungkan adalah nilai ini lebih besar dari apa yang dilaporkan oleh BNM. Sebelum ini, isu ini juga pernah didedahkanoleh Bekas Pengurus Kanan Jabatan Ekonomi BNM, Dr. Rosli Yaakop dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Pendedahan setelah lebih 20 tahun. Imej dari azmykelanajaya.com
Jadinya, apa sebenarnya Skandal Forex ni? Dan sejak bila pulak BNM mula main forex?

BNM mula terlibat dalam forex sejak tahun 1985 lagi

Forex atau foreign exchange adalah aktiviti perniagaan/perdagangan tukar beli mata wang yang bertujuan nak buat keuntungan. Secara ringkasnya, ini contoh cara forex berfungsi…
“Sebagai contoh korang pergi money changer dan tukaran untuk RM4.40 adalah USD1.00. Jadinya, korang kena ada RM440 untuk tukar kepada USD100. Katakan pulak bulan depannya nilai USD naik kepada USD1.00 bersamaan dengan RM4.60. Maka, bila korang tukar USD100 tadi, korang akan dapat RM460. Nampaknya, korang dah untung RM20.”
 Itulah cara mudah kalau nak faham pasal pertukaran wang asing atau cara nak main forex. Sekarang ni banyak je perniagaan forex dibuat secara online sama ada yang berlesen ataupun tak, korang pun boleh libatkan diri sama. Cumanya, Majlis Fatwa Kebangsaan dah menfatwakan forex online ni sebagai haram.
Hello, ringgit jatuh…
Jadinya, perniagaan inilah yang dilakukan oleh BNM pada masa dulu. Tapi diorang tak lah main sikit-sikit macam korang, dah tentu BNM main juta-juta. Menurut Dr Rosli Yaakob (Bekas Pengurus Kanan Jabatan Ekonomi BNM), BNM mula terlibat dalam perniagaan tukar beli mata wang sejak tahun 1985 lagi.
Gabenor BNM masa tu adalah Tan Sri Jaffar Hussien (allahyarham). Gabenor BNM sebelum tu pula adalah Tun Ismail Ali (allahyarham) dan Tan Sri Aziz Taha.  Dikatakan Aziz Taha tak nak libatkan BNM dalam aktiviti spekulasi mata wang, sehingga dia akhirnya terpaksa meletakkan jawatan.
“Isyarat bahawa BNM akan bersepekulasi di pasaran pertukaran wang asing disebut di dalam satu syarahan yang disampaikan oleh TSJH (Tan Sri Jaffar Hussien) di Delhi dalam tahun 1989. Beliau menyebut bahawa beliau telah menambahkan dimensi ketiga dan keempat kepada pengurusan rizab BNM, iaitu, mengoptimumkan keuntungan dan membangunkan kemahiran berurusniaga di dalam pasaran wang asing…
Sejak dari itu bermulalah penglibatan BNM dalam kegiatan spekulasi di pasaran wang asing dalam skala besar dengan tujuan menjana keuntungan maksimum…” – Dr Rosli Yaakop, Bekas Pengurus Kanan Jabatan Ekonomi BNM. Dipetik dari Harakah Daily.
 Dari kiri: Tun Ismail Ali, Tan Sri Aziz Taha & Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein. Diorang ni semua pernah ada sain atas duit Malaysia. Imej dari penatokoh.blogspot, koleksiwangkertas.blogspot & Utusan Malaysia.
Menurut Dr Rosli lagi, bila ditanya kenapa BNM berspekulasi secara besar-besaran sedangkan takde mana-mana bank pusat buat macam tu, jawapan Jaffar Hussien adalah ‘untuk mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi’. Tapi nampaknya, hal tu tak menjadi bila nilai tukaran asing ringgit jatuh pada tahun 1997-1998 akibat diserang spekulator mata wang (yang dikatakan George Soros).

BNM belanjakan berjuta-juta dalam sehari

Kalau nak kata berapa jumlah wang yang dah digunakan dalam spekulasi ni, nampaknya jumlah tu masih lagi belum dapat diperincikan. Ini kerana, siasatan yang menyeluruh masih lagi belum dijalankan. Tapi, apa yang difahamkan adalah BNM menjadi bank pusat yang aktif terlibat dalam perniagaan ini.
Kalau pedagang-pedagang mata wang asing selalunya jual beli lot USD1 juta, USD5 juta atau yang paling tinggi pun USD10 juta, tapi BNM lain. BNM dikatakan berniaga dalam lot USD50 juta dan kadang-kadang tu boleh sampai USD1 bilion dalam sehari! Bukan main banyak.
Imej asal dari Bank Negara Malaysia & The Penny Hoarder.
Menurut Dr Rosli, BNM berniaga dengan cara:
  1. Beli dulu sesuatu mata wang dalam jumlah beberapa bilion USD dan bila urusan tu selesai (selang beberapa minit je), BNM akan beli lagi beberapa bilion USD.
  2. Perkara ni seterusnya jadi kejutan dalam pasaran dan pedagang-pedagang mata wang mula jadi panik dan akan tergesa-gesa beli mata wang tersebut.
  3. Kesannya, harga akan naik dan masa tu lah BNM akan jual balik pegangannya dan buat keuntungan.
“BNM bermain dalam lot-lot besar ini setiap hari. Ertinya, BNM memang berjudi di dalam pasaran, satu aktiviti yang tidak ada kena mengena langsung dengan fungsi ‘mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi’.” – Dr Rosli Yaakop, Bekas Pengurus Kanan Jabatan Ekonomi BNM. Dipetik dari Harakah Daily.
Beli, beli dan beli!!!
Antara lawan utama BNM masa tu adalah spekulator mata wang dunia, George Soros. Nak dijadikan cerita, pada 1992 BNM bermain Paun British (GBP) dengan beli mata wang tu dengan jangkaan nilainya akan naik. Dalam waktu yang sama, George Soros dah buat ‘short selling’ pada GBP (jual dulu dan beli kemudian) sebab jangka mata wang tu akan turun.
Malangnya, jangkaan Soros tu jadi kenyataan dan BNM rugi sebanyak USD5.5 bilion dan Soros pulak untung USD1.7 bilion. Tak lama lepas tu, Jaffar Hussein (Gabenor BNM) umumkan yang BNM hanya rugi atas kertas sebanyak RM9.3 bilion. Tapi kebenaran terbongkar pada 1993, bila Jaffar mengaku BNM rugi sebanyak RM10.1 bilion.
“Pakar-pakar membuat anggaran bahawa kerugian sebesar itu hanya boleh terjadi kalau BNM berspekulasi dalam pasaran sebanyak USD27-33 bilion. Jumlah ini 5 kali ganda jumlah rizab BNM pada masa itu dan lebih besar dari nilai asset BNM, iaitu USD20.7 bilion ketika itu, bermakna BNM sudah bankrap. Ini bukan hendak menjaga nilai ringgit dan mengawal inflasi, ini berjudi sakan.” – Dr Rosli Yaakop, Bekas Pengurus Kanan Jabatan Ekonomi BNM. Dipetik dari Harakah Daily.
Aktiviti ni jugak dikesan oleh Bank Pusat Amerika (Federal Reserve Bank), pengerusinya masa tu ada minta BNM supaya berhenti dari aktiviti tu. Tapi BNM buat tak layan dan teruskan jugak sampailah ia rugi besar pada tahun 1993.
Lelaki tu namanya Alan Greenspan, Bekas Pengerusi Bank Pusat Amerika (Federal Reserve Bank). Imej dari business.inquirer

‘Forex Scandal elite club masters’ – empat nama yang dituduh bertanggungjawab

Kalau dah rugi banyak ni, mestilah orang akan tanya siapa yang terlibat dan bertanggungjawab kan? Maka, muncullah empat nama (forex scandal elite club masters) yang selalu dikaitkan dengan skandal ini. Mereka adalah Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu), Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu), Allahyarham Jaffar Hussien (Gabenor BNM ketika itu) dan Nor Mohamed Yakcop (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi Kerajaan ketika itu).
Dari kiri: Tun Daim Zainuddin, Tun Dr Mahathir, Tan Sri Nor Mohammad Yackop & Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein.
Dari keempat-empat nama ni, Dr Rosli menamakan Jaffar Hussien dan Nor Muhammad Yaakcop sebagai dalang terbesar.
“… Jaffar dan Nor merupakan dalang terbesar dalam skandal ini kerana telah menokok tambah mengenai spekulasi aktiviti forex yang jelas menentang prinsip-prinsip bank pusat. Katanya, kedua-dua mereka telah membuat spekulasi tidak bertanggungjawab dan telah mempertaruhkan keselamatan asset-aset Bank Negara tanpa menghiraukan apa akan berlaku.” – Dipetik dari dapmalaysia.org.
Nor Muhammad Yakcop dikatakan bertanggungjawab sebab hanya dia seorang je yang dibagi tugas untuk membuat pertaruhan mata wang tu. Malah, dia juga dikatakan menggunakan komputernya dan komputer staf-staf BNM lain untuk buat spekulasi tu.
“Yang sebenarnya, yang berjudi itu seorang sahaja, iaitu Nor Mohamed Yakcop. Khabarnya (berita yang hangat di kalangan kakitangan BNM), apa yang beliau buat ialah beliau berjual beli menggunakan komputer orang lain – pegawai-pegawai di bawah beliau. Beliau akan bergerak dari satu komputer ke satu komputer sehingga pasaran melihat BNM mempunyai ramai pedagang mata wang asing yang agresif, walhal yang agresif hanya seorng sahaja.” – Dr Rosli Yaakop, Bekas Pengurus Kanan Jabatan Ekonomi BNM. Dipetik dari Harakah Daily.
Rugi la tu.
Manakala, Dr Mahathir dan Daim Zainuddin pula kena bertanggungjawab disebabkan diorang adalah orang yang paling berkuasa masa aktiviti tu berlaku. Jadinya, bila Anwar Ibrahim dilantik jadi Menteri Kewangan pada 1991, dia cuba nak dapatkan maklumat dalam kes ni. Anwar akhirnya memberhentikan Jaffar Hussien dan Nor Mohammad Yakcop dari BNM pada 1994.Sejak itu juga, BNM dilarang sama sekali terlibat dalam spekulasi mata wang asing.
“Setelah saya dipenjarakan pada September 1998, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri (Dr Mahathir). Dan lebih serius lagi apabila beliau dilantik Menteri Kewangan Kedua pada 2008; walaupun ketika diberhentikan pada tahun 1998, Kementerian Kewangan telah mengemukakan syarat bahawa beliau tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana institusi kewangan negara.” – Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bekas Menteri Kewangan. Dipetik dari BH Online.

Kerugian BNM sampai sekarang tak diketahui dengan tepat

Disebabkan tak ada sebarang siasatan khusus tentang perkara ni, makanya jumlah sebenar kerugian BNM sampai sekarang masih lagi menjadi spekulasi. Pernah juga dulu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minta BNM bagi penjelasan pasal kerugian ni. Tapi nampaknya takde siasatan lanjut yang dijalankan.
Walaupun begitu, BNM mengaku yang ia mengalami kerugian sebanyak RM10.1 bilion pada 1992 dan RM5.7 bilion pada 1993. Kalau dicampur, jumlahnya RM15.8 bilion. Tapi kalau ikut kata Anwar Ibrahim pulak, BNM rugi antara RM15 bilion hingga RM30 bilion dalam skandal tersebut. Malah, Lim Kit Siang sendiri mendakwa negara kerugian RM30 bilion. Tapi lain pulak kata Murad Khalid.
“Kerugian keseluruhan adalah US$10 bilion dan bukannya ringgit. Kerugian kita adalah mata wang asing….Jumlah kerugian bergantung (kepada kadar pertukaran). Ia akan menjadi RM44 bilion jika anda menukarnya berdasarkan kadar pertukaran sekarang. Kadar pertukaran antara RM2.3 dan RM2.5 untuk US$1 pada masa itu.” – Datuk Abdul Murad Khalid, Bekas Penolong Gabenor BNM. Dipetik dari New Straits Times.
Jangan marah…tunggu dulu siasatan…Imej dari imgflip.com
Menurut Dr Rosli, BNM dalam hal ni cuba untuk menyembunyikan kerugian tu dengan cara menilai semula pegangan emasnya pada harga pasaran yang menjadi lebih tinggi berbanding harga masa mula-mula ia dibeli. Selain dari menilai pelaburan BNM dalam saham dan beberapa lagi harta yang lain.
“BNM juga menggunakan ‘creative accounting’ bagi menyorok kerugian. Kerugian telah ditukarkan menjadi “harta” dengan mencipta istilah baru perakaunan, iaitu, ‘deferred expenditure’ atau ‘perbelanjaan tertunda’, wang telah dibelanjakan dahulu tetapi akan dibayar secara ansuran kemudian. Ini adalah penipuan.” – Dr Rosli Yaakop, Dipetik dari Harakah Daily.
Dr Rosli Yaakop juga pernah jadi Pengarah Urusan Akhbar Harakah. Imej dari Utara News.
Walaupun ada pendedahan yang dibuat dan baru-baru ini oleh Datuk Abdul Murad. Tapi masih ada masalah dalam dakwaan tersebut, ini kerana…

Bekas Gabenor Bank Negara yang ungkit hal ini, tapi integriti dia pun diragui

Walaupun isu ini adalah isu lama dan jugak mungkin sudah dilupakan, tapi nampaknya ia dibangkit balik oleh Bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Murad Khalid. Sebelum ni, kes skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) jugak pernah dibangkitkan.
Dalam hal ni, Tokoh Wartawan Negara Datuk Kadir Jasin ada mengingatkan supaya kita berhati-hati mengungkit kisah lama. Baginya, tujuan tersirat perniagaan forex adalah untuk mempertahankan nilai ringgit, kalau bernasib baik kita akan buat untung. Tapi malangnya ia berakhir dengan kerugian.
Tapi apa yang menjadi persoalan adalah Abdul Murad yang membangkit isu ini sendiri pernah disiasat dan dituduh di mahkamah sebab gagal mengisytiharkan harta berjumlah hampir RM24 juta. 
“Soalnya bagaimanakah seorang pegawai Bank Negara yang baru berusia dalam lingkungan 50 tahun boleh mengumpul harta sebanyak  itu? Beliau didapati bersalah dan didenda RM500,000.” – Datuk Kadir Jasin, Bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Strait Times. Dipetik dari Sinar Harian.
Datuk Abdul Murad Khalid. Imej dari kadirjasin.blogspot
Dalam hal lain pulak, Murad juga pernah mendedahkan yang Anwar Ibrahim mengawal 20 akaun induk (master accounts) yang diuruskan oleh kroni-kroninya bernilai lebih dari RM3 bilion.  Dia jugak mengaku yang dia terpaksa melakukan semua arahan-arahan Anwar. (klik siniuntuk baca pengakuan Murad)
“…beliau mendakwa terpaksa melaksanakan arahan-arahan Anwar seperti mengatur pinjaman-pinjaman bank dalam jumlah beratus-ratus juta ringgit untuk kroni-kroni lain walaupun ini bertentangan dengan undang-undang ‘kerana sebagai Menteri Kewangan dia akan cincang saya jika arahan-arahan tersebut tidak dilaksanakan’.” – Dipetik dari Utusan Malaysia, 29/10/1999.
Makanya, timbul persoalan tentang integriti Murad, seperti mana yang dikatakan oleh dua orang Tokoh Wartawan Negara ini.
“Lihatlah pengakuan Murad untuk menilai jenis manusia ini. Jika dia seorang pegawai yang berintegriti masa itu tentunya dia meletakan jawatan dan tidak rela dialatkan oleh Anwar Ibrahim.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu. Dipetik dari Zamkata.
Saya jarang setuju dengan Abdul Murad. Walaupun saya kenal dia lama, sejak zaman Tun Daim dan Datuk Seri Anwar sebagai Menteri Kewangan, saya dapati dia ini susah dibaca. Tindak-tanduk dia seolah-olah dia menyimpan dendam yang mendalam.” – Datuk Kadir Jasin, Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST. Dipetik dari kadirjasin.blogspot.
Dari kiri: Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk Kadir Jasin. Imej dari Daily Rakyat & mynewshub.cc.
Menurut Kadir Jasin lagi, di zaman pemerintahan Najib Razak kerugian dan kesusutan rizab Bank Negara adalah lebih teruk dari yang dulu. Contohnya, dari 31 Disember 2014 sampai 31 Disember 2016, Rizab Antarabangsa BNM jatuh daripada USD115.9 bilion (kira-kira RM509.96 bilion) kepada AS$94.6 bilion (RM424.2 billion).
“Ini berupa kejatuhan sebanyak AS$21.3 bilion atau bersamaan RM93.72 bilion. Ada orang kata lebih teruk daripada itu. Antara punca kejatuhan rizab ialah Bank Negara masuk pasaran tukaran asing (forex) untuk pertahan nilai ringgit tetapi gagal.
Natijahnya, kalau zaman Tun Dr Mahathir kerugian forex AS$10 bilion (bersamaan RM25 bilion pada kadar tukaran masa itu) tetapi nilai ringgit tidak merudum macam sekarang.” – Datuk Kadir Jasin, Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST. Dipetik dari kadirjasin.blogspot.
Antara komen yang dibagi oleh Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) pasal kes ni. Imej dari @ZainudinMaidin.

Kenapa tubuhkan suruhanjaya untuk Skandal Forex, tapi tidak pada 1MDB atau FGV?

Inilah antara persoalan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak. Selain itu, ada jugak kes-kes lain yang boleh disiasat seperti skandal berkaitan Felda Global Ventures Holdings Berhad,(yang kami dah tulis kat sini) dan skandal melibatkan pembelian kapal selam Scorpene.
Tindakan kerajaan yang hanya buka kes skandal BNM juga seolah-olah macam nak balas dendam kepada Dr Mahathir yang sekarang ni lantang mengkritik kerajaan. Tapi perkara ini dijawab oleh Puad Zarkashi (anggota Majlis Tertinggi Umno) yang mendakwa 1MDB memang tak boleh didakwa.
“Tidak wajar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu 1MDB semata-mata kerana ada pihak berkuasa asing seperti DOJ memfailkan saman sivil. Lebih-lebih lagi jika ia baru di peringkat fail dan belum dibicarakan di mahkamah.
Dakwaan-dakwaan ini belum terbukti benar sehingga mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada Amerika Syarikat. Tidak ada sebarang sebab untuk menubuhkan RCI semata-mata kerana saman sivil yang belum membuktikan apa-apa lagi.” – Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi, anggota Majlis Tertinggi Umno. Dipetik dari Malaysiakini.
Eeerrrmm…
Bagaimanapun, Dr Mahathir sendiri dah nyatakan kesediaannya disiasat.
“Mahathir secara konsisten menyatakan dengan jelas bahawa beliau tiada masalah untuk hadirkan diri di mana-mana mahkamah ataupun inkuiri yang ditubuhkan secara sah di sisi undang-undang, bagi tujuan menjawab segala tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap beliau oleh sesiapa sahaja.” – Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Peguam Dr Mahathir. Dipetik dari Sinar Harian.
Oleh itu, alangkah lebih baik jika siasatan ini diperluaskan kepada apa yang berlaku pada hari ini. Jika tidak 1MDB, mungkin boleh disiasat tentang kesusutan rizab BNM seperti yang dikatakan oleh Datuk Kadir tadi. Mungkin dengan itu, ia sedikit sebanyak boleh mengembalikan keyakinan rakyat. Jangan pulak nanti dikata orang, kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.
Penafian: Gambar, artikel ataupun video yang disiarkan di laman ini ada diantaranya berasal dari pelbagai sumber media yang lain. Hakcipta sepenuhnya masih dipegang oleh sumber berkenaan. Jika terdapat sebarang masalah berkaitan hal berkenaan, sila hubungi kami.
loading...

About Unknown

Powered by Blogger.