Artis

ADIBAH AMIN…INSAN HEBAT DI SEBALIK WATAK ‘CIKGU BEDAH’!

loading...

ADIK Manja merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1980. Ia diarahkan oleh Othman Hafsham.
Sumber : syahrilkadir.com
Filem ini merupakan antara filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman. Filem ini mendapat kutipan sebanyak RM3.5 juta dan memegang rekod kutipan filem tertinggi selama 14 tahun sehingga rekod kutipan filem ini dipecahkan oleh filem Sembilu pada tahun 1994
Antara watak yang sangat diingati dalam filem berkenaan adalah Cikgu Bedah, seorang cikgu yang berkaca mata bulat, rambut kembang, garang dan ‘kepoh’!
Beliau meraih Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik menerusi lakaran watak tersebut.
Di luar filem berkenaan, ramai yang membesar dengan novel ‘Cikgu Bedah’ –  Seroja Masih di Kolam.
Tidak sedikit yang menjengahnya dalam kolum As I Was Passing di New Straits Times.
Tidak kurang pula yang pernah belajar Bahasa Melayu melalui kolumnya di The Star.
Beliau dianggap guru oleh murid-muridnya meski terpisah antara jarak dan pertemuan.
Banyak pula karya-karya besar tanahair telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris.
Karya-karya yang ditulis oleh penulis ternama negara dilebarkan medan bahasanya menerusi terjemahannya.
‘Cikgu Bedah’ dianugerahkan Tokoh Terjemahan Negara 2012 hasil dari sumbangan besar beliau dalam bidang terjemahan.
‘Cikgu Bedah’ adalah seorang tokoh yang tiada galang gantinya.
Nama sebenar ‘Cikgu Bedah’ adalah Adibah Amin.
Lahir pada 19 Februari 1936, beliau ialah seorang ahli akademik, ahli bahasa, penulis bahasa Melayu serta bahasa Inggeris, dan pelakon Malaysia. Sri Delima merupakan nama penanya.
Dalam bahasa Inggeris, beliau menulis untuk akhbar The Star, dan kini paling diingati untuk ruangnya “As I Was Passing” yang ditulis semasa beliau bertugas dengan akhbar New Straits Times.
Pada November 2006, Adibah melahirkan novel pertamanya di dalam Bahasa Inggeris, “This End of The Rainbow” yang memaparkan sebuah fiksi tentang kehidupan mahasiswa sekitar tahun 50an.
Novelnya “Seroja Masih di Kolam” telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Jepun dengan judul “Surojya No Hana Wa Mada Ike Ni (1986).”
Adibah juga turut menterjemahkan karya-karya sastera besar Malaysia termasuklah No Harvest But Thorns tulisan Sasterawan Negara Malaysia, Shahnon Ahmad (judul asal Ranjau Sepanjang Jalan) dan Jungle of Hope (tulisan SN Keris Mas, judul asalnya, Rimba Harapan).
Sehingga tahun 2006, Adibah masih giat menulis terutamanya mengenai artikel-artikel pendidikan di suratkhabar (The STAR).
Dilahirkan di Johor Bahru, Johor, dengan nama Khalidah Adibah bt Amin, ibunya, Tan Sri Zainon Sulaiman atau lebih dikenali sebagai “Ibu Zain” merupakan seorang pejuang kemerdekaan terhadap penjajah British bersama-sama Tunku Abdul Rahman dalam UMNO, dan tidak mahu ahli-ahli keluarganya untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.
Ibunya hanya bertutur dalam bahasa Melayu dengan anak-anaknya, dan menghantar mereka ke sekolah Melayu dan Arab.
Ketika berumur sepuluh tahun, Adibah mendaftar masuk ke sekolah bahasa Inggeris.
Sekolah itu hanya membenarkan murid-muridnya bertutur dalam bahasa Inggeris. Pada mula-mulanya, beliau menghadapi banyak masalah untuk berbuat demikian, tetapi buku-buku bahasa Inggeris, dengan gambar-gambar yang menarik, menawan hatinya.
Dalam sebuah temu bual dengan majalah Asiaweek pada sekitar 1999, Adibah berkata:
“Saya cinta akan bahasa Inggeris. Anda boleh membuat apa-apa sahaja dengannya. Saya suka akan bahasanya yang tidak kemas. Peraturan-peraturannya tidak tegar. Saya juga tidak kisah tentang ejaannya yang gila. Saya tak nak pembaharuan untuk bahasa itu. Sudah tentu, kesemuanya bergantung kepada bagaimana bahasa itu digunakan. Bahasa itu boleh bersifat penuh gah yang menggerunkan.
” Bagaimanapun, saya masih lebih cinta akan bahasa Melayu. Apabila saya menulis sesuatu dengan mendalam, ia ternyata ditulis dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris, saya hanya menulis dengan cara yang tidak serius kerana bahasa itu merupakan bahasa kedua saya, dan saya tidak suka mencuba dengan bersungguh-sungguh. Hasilnya tidak sebegitu baik seperti yang saya kehendakinya.”
Pada tahun 1953, Adibah melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya.
Adibah memulakan kerjayanya sebagai seorang guru pada tahun 1958 ketika berumur 22 tahun di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan. Pada tahun 1970, beliau merupakan Guru Besar di Sekolah Menengah Sri Puteri, Kuala Lumpur.
Beliau kemudian menjadi pensyarah di Maktab Bahasa (sekarang Institut Bahasa), Kuala Lumpur.
Pada tahun 1971, ketika berumur 35 tahun, Adibah menyertai The New Straits Times Press Sdn Bhd (NSTP) sebagai seorang wartawan.
Beliau mempergunakan kekuatannya dalam bidang pendidikan untuk menggabungkannya dengan bidang kewartawanan.
Salah satu hasilnya ialah ruang “As I Was Passing” yang mencetuskannya ke barisan depan kewartawanan negara dan mencapai untuknya setakat kemasyhuran.
Beliau pernah dilantik sebagai Penasihat Editor Majalah Jelita, keluaran NSTP.
Pada tahun 1984, Adibah meninggalkan syarikat NSTP untuk menjadi penulis bebas serta untuk mengajar bahasa Melayu.
Kemudian, pada awal 1990-an, beliau menyertai akhbar The Star dan tidak lama kemudian, menulis satu siri ruang mengenai pembelajaran bahasa Melayu yang merupakan kekuatannya untuk bahagian akhbar, Pendidikan Star Terbitan Ahad (Sunday Star Education).
loading...

About Unknown

Powered by Blogger.