loading...
Perkongsian oleh Tn Abd Ghani Haron yang mungkin boleh dijadikan pengajaran pada lebaran tahun ini.
TAK SANGGUP TIDUR DI RUMAH EMAK
Seorang wanita tua yang berjemaah solat bersama saya, berbual lepas solat ketika saya berada di motor untuk balik. Saya bertanya tentang sambutan raya yang baru berlalu dan hal anak tunggalnya. Air mukanya berubah. Katanya, ”Dia sampai balik pagi raya dengan anak bini. Katanya tak cuti dan jalan jem. Takpalah, asal dia balik. Petang raya, dia kata nak pi rumah mentua dan tidoq di sana, di Kg Tongplu, dekat Pedu.
Saya tak kata apa. Tapi masa depa nak naik kereta, cucu saya bertanya mak dia, ’kita nak tidoq di hotel semalam ka?’Mak dan bapa dia diam tetapi saya sempat melihat menantu saya membeliak mata pada anaknya. ”Sampai disini dia berhenti bercakap. Dia tunduk dan mula mengesat air mata dengan hujung telekong yang masih dipakai. Saya faham anaknya sebenarnya bermalam di hotel dan pagi itu baru balik ke rumah orang tuanya. Kes pecah tembelang.
“Hinanya kami mak bapa dia. Bapa yang membesaqkan dia, yang mendodoikan dia dalam kain sentung, menepuk hingga lena dalam kelambu takut digigit nyamuk. Hinanya emak dia yang dia gonggong susunya hingga bertahun, disuap nasi hingga membesaq, hinakah kami yang beri dia sekolah dengan titik peluh kami. Saya tahu, depa jijik tegok dapor saya, jijik bilik ayaq dan jambannya, jijik bilik tidur yang panas bertilam kabu. Tapi depa tak sedaq mereka membesaq dengan keadaan itu, tapi hari ini depa pandang jijik. Itu sebab depa tak mau tidoq rumah ibubapa sendiri, mereka tidoq hotel. Bukan tak ada tempat dirumah tu, kerana dia anak tunggal. Tergamak dia. ” Kesedihannya makin berlarutan.
Wahai anak, bukanlah perkataan dari lidahmu sahaja boleh melukakan hati ayahbondamu, bukanlah tingkah lakumu sahaja boleh mengguris hati emak ayahmu, tetapi tindakanmu juga boleh merobek hati kecil mereka. Jika biasa dengan kemewahan di rumah sendiri, jangan mengharap yang sama di rumah ayahbonda, . Kita dibesar dengan kepayahan ayahbonda, sesekali laluilah kembali. Jika kita rasa tidak selesa dirumah ibubapa, kenapa kita biar mereka hidup tidak selesa, kenapa tidak diupgrade rumah ibubapa seperti rumah kita. Ingat kekayaan yang kita miliki sebenarnya berpunca dari pengorbanan ayahibu yang menyekolahkan kita. Maka sepatutnya mereka hidup lebih selesa dari diri kita kerana mereka yang melabur harta dan tenaga untuk mencipta kejayaan kita, tetapi hasilnya kita kaut semuanya, meninggalkan ayahibu dengan hidup dirumah tuanya.
Apa juga perkara yang kita rasa jijik pada kehidupan ibu ayah kita, sepatutnya dibeban kepada diri kita, bukan melarikan diri dari keadaan itu. Dalam kes ini, tidur dihotel kerana tak sanggup tidur dirumah ayah yang penuh geli geleman pada kita.
Jika anak anak tidak dididik untuk merasa kepayahan orang lain, suatu hari mereka tidak akan mampu hidup bila ditimpa kepayahan. Jika anak dididik merasa jijik dengan apa yang orang lain lalui, apa lagi keturunannya, suatu hari nanti, mereka akan memandang jijik kepada seluruh mereka yang miskin.
Betapa ibu ayah mengharap anak yang pulang sesekali, menghidupkan kembali suasana rumah yang sunyi setelah anak berkeluarga. Tidurlah semalam dua, makan bersama, berkongsi bilik air dan bilik tidur dsbnya. Jika terasa payah pun, biarlah demi menjaga hati emakayah, janganlah merungut tidak sempurna itu ini.
Mungkin emak ayah teringin naik kereta baru kita, bawalah mengunjung saudara mara, mungkin mereka sedikit ingin berbangga dengan kejayaan anak, bawalah bertandang, bershopping. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang baik kerana berkunjung mengerat silaturrahim, menggembirakan ayah ibu. Jangan jadikan kunjungan beraya ke kampung menjadi gurisan tajam ke hati ibuayah yang akan memahat dosa yang besar.
Tidak salah tidur dihotel atau homestay jika keadaan rumah tidak muat kerana ramai, kerana menjaga aurat, mohon izin dengan baik pada ibuayah, jelaskan agar mereka memahami. Mereka tentu memahami. Menipu itu ibarat bangkai, yang amat mudah tercuim busuknya, apa lagi bila Allah hendak membukanya. Bertindaklah dengan rasional, ibuayah itu keutamaan. Ingat suatu hari nanti kita juga akan berada disituasi ibu ayah kita.
- ABD GHANI HARON | thealternatif.com
loading...