loading...
EDISI Siasat mencipta fenomena tersendiri sekitar tahun 2001 hingga 2005. Program Berita TV dengan orientasi laporan penyiasatan menggunakan kamera tersembunyi. Setiap hujung minggu ketika semua saluran TV domestik menyiarkan berita konvensional, hos Wan Kamaruddin akan muncul dengan taglines: “Apa kejadahnya ini semua!”
sumber : mynewshub.cc
Edisi Siasat mempraktikkan resipi berbeza dalam laporan kewartawanan. Visual dan skripnya sangat kasual dan sempoi; mengikis format bahasa pemberitaan yang sangat rigid dan kaku dengan nilai kebukuan. Malah, skripnya membantu hos memperolehi watak heroik; sejajar dengan matlamat program yang mahukan duta studionya berkarektor langsung
Mengapa langsi?
Sudah tentu kerana fokus Edisi Siasatsendiri bersifat memerangi jenayah. Wan Kamaruddin selaku duta program akan beraksi dari studio dengan isyarat bahasa dan karektor yang jelas mahu memerangi jenayah. Antaranya, serangan selaran dan celaan pada penjenayah mesin judi haram, pengedaran dadah, pelacuran, sindiket curi kenderaan, jenayah pemalsuan dokumen, rasuah dan penyelewengan kuasa.
Dari kisah doktor menjual MC sampailah ke kes senjata api boleh diseludup di laluan rasmi sempadan Malaysia Thailand, hingga ke isu mesin judi haram beroperasi di depan balai polis – Wan Kamaruddin berdiri sebagai duta program yang dengan keras dan tegas. Peranannya konsisten; menyuarakan pandangan kewartawanan yang berPOVkan aspirasi masyarakat awam.
Tidak semua berjalan dengan baik. Ada kaki pukul muncul di depan NTV7 mencari Wan Kamaruddin. Ada panggilan telefon mengugut dan memaki-hamun. Malah, gengster menghantar orang tengah untuk berunding memujuk supaya pakej laporan kegiatan judi haram tidak disiarkan.
Banyak tawaran rasuah cuba diberikan. Dari offer pakej percutian berkumpulan ke Phuket sampailah wang tunai RM60 ribu sebagai pampasan tukar ganti untuk tidak mendedahkan kebejatan para penjenayah.
Edisi Siasat yang disiarkan waktu perdana 8.00 setiap hujung minggu memang penuh warna-warni. Bagi haters, Wan Kamaruddin layaknya dituduh macam samseng yang dibenarkan on air. Bagi lovers, Wan Kamaruddin ikon dan aspirasi anak muda menentang jenayah.
Isu Edisi Siasat sentiasa panas. Ada Exco Negeri lari dari menjawab soalan mengenai sindiket curi pasir apabila wartawan mengejar dan menyebut, ada bukti pembabitannya. Ada anak ahli politik Melayu yang berpengaruh, mengetuai sindiket judi mesin kuda secara kerjasama dengan gengster Cina.
Malah, rakaman kamera spy berjaya merakam, agensi perkhidmatan milik kerajaan mengambil rasuah secara terbuka dan hampir menjadi amalan yang dibenarkan. Setelah disiarkan, ia mencetuskan kekecohan.
Ini fenomena 10 ke 15 tahun lalu. Ketika gajet dengan tularab Facebook dan Instagram belum wujud untuk menyebarkan jenayah popular. Ketika banyak kebejatan sosial masih dibawah suhu tepu. Penjenayah tidak mempunyai musuh selain polis. Waktu itu, Wan Kamaruddin memilih untuk menjadi musuh penjenayah.
Wan Kamaruddin berada pada era pembaharuan kewartawanan. Era The New New Jornalism; hasil ledakan yang mengubah ekologi teknik dan taktik pemberitaan semasa. Ketika berita konvensional yang taksub pada kokon 4W dan 1H sudah dianggap basi dan tepu.
Kini Wan Kamaruddin kembali lagi. Bagi peminat, ia satu memori dan mengimbau semula era kewartawanan penyiasatan dengan formula yang sangat daring dan ranggi.
Sekalipun kini, Wan Kamaruddin muncul sebagai pembaca berita, ia tetap memadai sebagai penawar rindu terhadap hos yang dianggap lagenda bagi era kebangkitan kewartawanan penyiasatan.
Bagi yang rindukan Wan Kamaruddin, dia kini bersama Berita TV AlHijrah.
Bravo! Wan Kamaruddin. Selamat maju jaya! –
loading...