WIRA

TUN DR. ISMAIL – PEMIMPIN PERTAMA BAWA MASUK SENJATA KE MESYUARAT PBB!

loading...

Antara yang dilupai oleh sesetengah aktivis politik dan tidak begitu diketahui oleh pihak-pihak lain ialah pidato bersejarah Tun Dr. Ismail (1915-1973) ketika Malaya menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 September 1957.
Pada waktu itu beliau menjadi diplomat pertama Malaya ke PBB dan Duta Besar Malaya yang pertama ke Amerika Syarikat. Katanya:
 ” Kami di Malaya mempunyai tiga kaum utama: orang Melayu, Cina dan India, yang hidup bersama generasi demi generasi dengan aman damai dan harmoni. Perbezaan agama dan latar belakang -budaya, perbezaan status ekonomi dan sosial tidak pun menjadi rintangan untuk mewujudkan perpaduan nasional ketiga kaum itu.
” Keinginan utama kami ialah mempunyai hak dan tuah untuk hidup sebagai bangsa yang merdeka dan bersatu-padu di kalangan bangsa-bangsa yang bebas di seluruh dunia. Pencapaian cita-cita itu melalui cara-cara aman, damai dan berperlembagaan, melalui rundingan-rundingan persahabatan dan semangat kompromi adalah hasil keteguhan moral semulajadi ketiga kaum itu yang hidup di Malaya di waktu itu.”
Demikian antara catatan buku berjudul Malaya’s First Year At The United Nations: As Reflected in Dr. Ismail’s Reports Home to Tunku Abdul Rahman (terbitan Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura 2009). Kandungannya disusun oleh Taufik Ismail dan Ooi Kee Beng.
Dr. Ismail dilantik menyandang kedua jawatan itu oleh Tunku dengan fahaman bahawa kedua pelantikan adalah untuk kira-kira setahun sahaja.
Pada permulaan pidatonya di PBB beliau menjelaskan: “Saya berucap pada hari ini dalam sebesar-besarnya perhimpunan agung pelbagai bangsa ini sebagai wakil sebuah negara kecil yang mempunyai 6 juta rakyat saja dalam suatu wilayah yang besar cuma 50,000 batu persegi.”
Malaya menjadi ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-82.
Beliau berucap sekali lagi dalam debat PBB pada 25 September 1957 mengenai pelbagai masalah yang timbul di Afrika, Timur Tengah dan negara-negara Asia akibat penjajahan.
Tegasnya, penaklukan pihak penjajah menyebabkan negara-negara yang dijajah itu digunakan sebagai gadaian dalam persaingan ideologi yang berlaku ketika itu.
Lalu beliau melafaz sebuah peribahasa Melayu, “Gajah berjuang, rumput juga yang berasa.” dengan terjemahan bahasa Inggeris when elephants clash, it is the grass that is destroyed.
Dalam satu persidangan PBB pada 26 September 1958 pula Dr. Ismail menyatakan rasa kesal mengenai nasib Algeria masih dijajah oleh Perancis. “Rakyat Algeria berhak menikmati kebebasan dan kemerdekaan,” beliau menambah.
Juga disebut ialah nasib sedih kulit hitam di Afrika Selatan yang dikuasai oleh rejem kulit putih dengan dasar Apartheid. Demikian seterusnya nasib negara-negara Arab di bawah telunjuk pihak-pihak penjajah.
Pada tahun 1964 setelah menang sekali lagi dalam pilihan raya kawasan Johor Timur, Dr. Ismail dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri. Pada bulan September beliau mengetuai ketua delegasi Malaysia dalam debat Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pencerobohan Indonesia, diwaktu konfrantasi.
Pada tahun 1970 beliau berlepas ke London untuk menjalani rawatan sakit jantung selama sembilan minggu. Namun, di waktu ketiadaannya itulah Presiden Suharto yang melawat Malaysia mengurniakan pingat kehormatan Republik Indonesia kepada Dr. Ismail.
Pada bulan September, Perdana Menteri baru, Tun Abdul Razak melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dr. Ismail kemudian berlepas ke New York untuk sambutan ulangtahun ke-25 Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 di rumahnya di Jalan Maxwell (dinamakan semula Jalan Tun Dr. Ismail kemudiannya) dan dikebumikan di Makam Negara.
Selain pidato-pidato hebatnya di PBB, ada satu perkara lagi yang menarik mengenai Tun Dr. Ismail yang mendapat perhatian semua pihak.
Ketika di PBB, Dr. Ismail pernah berpakaian kebangsaan Melayu lengkap dengan tengkolok dan sebilah keris di pinggangnya!
Dan itulah kali pertama senjata dipakai dalam Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu!
NOTA: Allahyarham adalah anak Melayu pertama memperoleh ijazah perubatan dari Universiti Melbourne, Australia.
(petikan tulisan tokoh kewartawanan Allahyarham Datuk Mazlan Nordin)
Sumber : syahrilkadir.com
loading...

About Unknown

Powered by Blogger.