SEMASA

DRAMA ANDAINYA TAKDIR, PENULIS SKRIP DEDAH KISAH SEBENAR

loading...

Ketika ini sedang hangat diperkatakan mengenai drama bersiri hebat, Andainya Takdir, yang masih lagi bersiaran di kaca TV.  Melalui komen-komen netizen, ramai yang rasa sakit hati apabila menonton drama hebat lakonan Shukri Yahaya, Nina Iskandar, Puteri Balqis dan ramai lagi ini.


Airil, Aleeya, Fatihah

Antara komen yang sering diluahkan adalah mengapa Airil jadi begitu jahat, kenapa isterinya terlalu baik dan tidak kurang juga yang menyampah dengan sikap ibu mertua Fatihah. Malah, penulis skrip cerita ini juga turut diheret sama menjadi kebencian ramai.


Normah Binti Sulaiman

Oleh itu, MH Online telah menemu bual penulis skrip drama Andainya Takdir ini iaitu Wan Mahani Wan Hassan.

Cerita Wan Mahani,

“Cerita Andainya Takdir ini merupakan kisah benar yang berlaku terhadap seorang kenalan saya.  Dia bercerita dengan jujur masalah yang berlaku dalam rumah tangganya selama ini yang tak ramai mengetahuinya.  Terutama mengenai sikap suaminya yang mengalami masalah penyakit mental ‘Othello Syndrome’ atau dalam bahasa yang lebih mudah ‘cemburu buta’, tidak yakin dengan pasangan.

“Cerita ini ditulis atas persetujuan beliau dan tujuannya bukanlah untuk memalukan mana-mana pihak tetapi adalah sebagai pengajaran kepada semua pasangan yang akan atau telah berumah tangga.
“Ada juga komen yang saya baca katanya terlalu ganas sangat tetapi itulah sebenarnya yang berlaku.  Pun begitu, kalau kita tengok dari awal sehingga tamat cerita ini nanti, ganas tak adalah banyak sangat tetapi lebih banyak yang positif sebenarnya,” katanya.
Tambah Wan Mahani, dia turut membaca komen yang mengatakan skrip yang ditulis itu keterlaluan dan sengaja dibuat-buat sehingga menampakkan cerita itu kurang jujur.
“Kalau nak tahu sebenarnya dalam cerita ini, watak Airil (Shukri Yahaya), Fatihah (Nina Iskandar) dan ibu mertuanya (Sheila Mambo), ketiga-tiga ini adalah watak sebenar seperti yang diceritakan oleh kenalan saya itu kepada saya.  Sementara yang lain-lain itu adalah mengikut situasi semasa.
“Jangan terkejut jika saya katakan bahawa saya juga menerima beberapa mesej yang mengatakan bahawa cerita Andainya Takdir ini sama atau hampir sama dengan kisah yang berlaku dalam rumah tangga mereka.  Jadi jelasnya di sini, cerita ini benar-benar wujud dan berlaku bukan pada seorang tetapi pada ramai wanita-wanita lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wan Mahani sempat juga bercerita mengenai hero drama tersebut iaitu Shukri Yahaya yang katanya ada peminat Shukri tidak menggemari watak Shukri sebagai lelaki psiko tersebut.
“Ini merupakan watak psiko yang sangat mencabar bagi Shukri dan bagi saya dia telah melaksankan tugasnya dengan sangat baik.  Saya juga kagum dengan Nina Iskandar, Puteri Balqis, Sheila Mambo dan semua pelakon serta krew yang terlibat di dalam drama ini.
“Tahniah juga untuk pengarahnya Along Kamaludin dan penerbitnya A. Aida Production,” katanya.
Akhir sekali Wan Mahani berharap agar drama ini dapat dipandang dari sudut yang positif dan tonton drama ini sehingga episod terakhir untuk mengetahui penghujung ceritanya.

SINOPSIS ANDAINYA TAKDIR

Mengisahkan ketabahan Fatihah (Nina Iskandar) dalam mempertahankan rumah tangganya bersama Airil (Shukri Yahya) yang penuh cabaran. Pasangan suami isteri ini mempunyai seorang puteri yang bernama Aleeya (Puteri Balqis).
Kehidupan tiga beranak ini sentiasa dalam keadaan genting kerana Airil merupakan seorang yang panas baran dan cemburu buta. Segala perbuatan Fatihah dipantau oleh Airil dan setiap perbuatan Fatihah yang dilakukan tanpa kenan Airil, Fatihah pasti akan dipukul sehingga lebam.
Fatihah yakin bahawa dia mampu bertahan dengan sikap suaminya yang sebegitu demi Aleeya. Namun, kesengsaraannya tidak tertumpu kepada suaminya sahaja, sikap ibu mertuanya pula tidak menyumbangkan sebarang kebaikan dalam perkahwinannya.
Ibu mertua Fatihah, Normah (Sheila Mambo) sentiasa bersikap keras kepala, menghasut, dan berprasangka buruk sentiasa membuat Fatihah kegetiran. Normah sememangnya tidak disenangi orang kampungnya kerana sikapnya yang suka menuduh tanpa soal siasat.


Airil bersama adiknya Norlin

Fatihah juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli emosi Normah apabila segala permintaan Fatihah kepada suaminya ditentang olehnya. Airil pula sentiasa menyebelahi ibunya sehingga sering membuat
Fatihah berasa terpinggir.
Sungguhpun Airil mempunyai masalah panas baran dan sentiasa memukul Fatihah, dia sebenarnya terlalu menyayangi Fatihah. Airil juga berusaha untuk mengubah sikapnya dengan mempelajari cara-cara untuk mengawal sikap cemburu dan kemarahannya yang melampau itu.


Fatihah adalah menantu kesayangan bapa mertua Pak Jalal

Penulis: Meen Tahrin
Sumber: Media Hiburan
Foto: Laman Instagram Pelakon Terlibat


Scene minggu terakhir drama Andainya Takdir.. Airil telah di tangkap oleh pihak Polis. Siapa yang report???

Ada beberapa sudut untuk melihat drama ini.

Pertama, Sindrom Othello. Sindrom Othello ialah gangguan delusi ( delusional disorder ) yang berlaku kepada seseorang sehingga dia merasakan bahawa pasangannya itu curang atau tidak setia kepadanya tanpa bukti yang kukuh. Orang yang mengidap Sindrom Othello akan sering mengesyaki pasangannya tidak setia, mencari-cari bukti kecurangan pasangannya walaupun tidak ada, berasa tidak selamat apabila pasangan tiada di sisi, mengongkong pergerakan pasangannya, dan sanggup mengasari pasangannya jika perlu. Anehnya, mereka menjustifikasikan semua ini atas nama cinta yang terlalu mendalam. Nama lain bagi sindrom ini ialah ‘ Morbid Jealousy ‘ ( cemburu buta ). Sindrom Othello mendapat namanya sempena karya Shakespeare yang bertajuk Othello, The Moor of Venice. Dalam karya ini, Othello telah membunuh isterinya yang bernama Desdemone kerana cemburu. Ini berlaku akibat hasutan sahabatnya, Iago. Watak Airil lakonan Shukri Yahaya yang sering memukul isterinya kerana cemburu ialah manifestasi Sindrom Othello.
Kedua, Sindrom Stockholm. Sindrom Stockholm ialah keadaan yang berlaku apabila terbentuknya ikatan emosi yang kuat antara dua pihak dalam keadaan satu pihak mengasari, mengancam, atau mendera pihak yang lain. Pihak yang didera, tidak menjauhkan diri daripada orang yang menderanya, sebaliknya menerima perbuatan orang yang menderanya dan mungkin menjustifasikannya pula. Ini suatu keanehan kerana biasanya orang yang didera akan membenci orang yang menderanya, bukan menyayanginya. Sindrom ini mendapat nama sempena peristiwa rompakan bank yang berlaku pada tahun 1973 di Stockholm, Sweden. Dalam peristiwa ini, perompak bank telah menculik beberapa orang mangsa sebagai tebusan. Setelah dibebaskan daripada tebusan, mangsa culik bukan sahaja tidak mahu mendakwa si perompak, malah mempertahankan tindakan perompak itu. Watak Fatihah lakonan Nina Iskandar yang terus bertahan di sisi suaminya walaupun dipukul dengan teruk berkali-kali, menunjukkan kecenderungan sindrom ini. Penghidap sindrom ini seolah-olah tidak nampak jalan keluar daripada masalah mereka dan menganggap apa yang berlaku sebagai takdir. Mereka malah mungkin menyalahkan diri sendiri sebagai punca hal itu berlaku. Tajuk Andainya Takdir seakan-akan mengisyaratkan bahawa watak Fatihah hanya bersikap pasrah terhadap apa yang berlaku. Orang seperti ini perlu dibantu oleh orang lain kerana mereka tidak dapat memikirkan sendiri jalan penyelesaiannya.
Ketiga, trauma kanak-kanak ( childhood trauma ). Trauma kanak-kanak ialah gangguan fikiran yang berlaku kepada kanak-kanak akibat peristiwa tertentu yang menimbulkan kecederaan emosi dan kesan yang mendalam. Watak Aleeya lakonan Puteri Balqis kerap menyaksikan ayahnya memukul ibunya. Aleeya hidup dalam ketakutan, kebingungan, dan kesedihan terhadap apa yang berlaku. Jika keadaan ini berterusan, Aleeya akan membesar menjadi individu yang negatif, sukar mempercayai lelaki, dan pesimis terhadap kehidupan.
Keempat, al-Namimah. Al-Namimah ialah perbuatan batu api dan mengadu domba. Watak ibu Airil iaitu Normah lakonan Sheila Mambo penuh dengan sifat ini. Rumah tangga Airil dan Fatihah yang bahagia menjadi porak-peranda akibat sikap Normah yang sering menjadi batu api. Jika dalam drama Othello karya Shakespeare, watak yang sepadan dengan watak Normah ini ialah Iago. Iago ialah orang kepercayaan Othello tetapi sering menghasut Othello agar mencurigai isterinya.
Kelima, Nusyuz suami. Nusyuz secara bahasa ertinya tempat yang tinggi. Manakala secara istilah, ringkasnya boleh diertikan sebagai meninggalkan kewajipan terhadap pasangan, tidak kira daripada pihak lelaki mahupun pihak isteri. Nusyuz sering dikaitkan dengan isteri, namun al-Quran juga menyebutkan tentang nusyuz suami seperti berikut :
وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِنْ بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا وَالصُّلْحُ خَيْرٌ…
Ertinya :
Sekiranya seseorang wanita ( isteri ) itu bimbang akan nusyuz atau berpalingnya ( suami ) terhadapnya, maka tidaklah menjadi kesalahan kepadanya untuk melakukan sulh ( perbaikan ) antara mereka berdua. Dan sulh itu lebih baik…
Surah al-Nisa’ [ 4 ] ayat 128.
Sebahagian sarjana juga menafsirkan bahawa perbuatan kasar seperti memukul isteri tanpa alasan yang munasabah di sisi syarak termasuk dalam nusyuz suami.
Sulh ialah jalan untuk membaiki keadaan antara pasangan suami isteri apabila keharmonian rumah tangga tidak lagi dapat dikekalkan. Si isteri boleh menawarkan sulh dengan menggugurkan sebahagian haknya sebagai isteri agar mereka boleh berpisah. Si isteri juga boleh menuntut fasakh, atau melakukan khuluk ( tebus talak ). Islam tidaklah menggalakkan perceraian, tetapi Islam juga menawarkan solusi apabila pasangan tidak lagi bahagia.
7. Pukalisme. Pukalisme berlaku apabila kita melakukan generalisasi. Seorang lelaki bergelar suami memukul isteri, maka habis semua lelaki dipersalahkan. Seorang wanita bergelar isteri bersikap naif, habis semua wanita dipandang lemah. Seorang ibu mentua bersikap buruk, habis semua ibu mentua dianggap teruk. Seorang ipar bersikap menjengkelkan, habis semua ipar dipandang serong. Ini digelar sebagai ‘ Fallacy of Hasty Generalization ‘. Falasi kerana tergesa-gesa membuat kesimpulan umum. Janganlah kita terperangkap dalam generalisasi ini. Masih ramai orang yang baik di luar sana.
Demikianlah beberapa sudut pandang yang boleh dilihat dalam isu ini.
Saya tinggalkan pembaca dengan kalam daripada al-Quran ini :
Antara tanda ( kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri , agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya dalam hal ini ada tanda-tanda bagi orang yang mahu berfikir.
Surah al-Rum [ 30 ] ayat 21.
~ MIAR ~
Sumber Facebook Mohd Izwanuddin Abd Rahim
loading...

About Unknown

Powered by Blogger.