loading...
Pada tahun ini, sekali lagi kita akan menyambut bulan Ramadan al-Mubarak atau lebih dikenali sebagai bulan puasa. Dalam banyak-banyak bulan yang ada dalam setahun, bulan Ramadhan ni adalah bulan yang paling ditunggu oleh umat Islam. Pertamanya kerana bulan ini adalah bulan yang paling mulia di antara semua bulan dan keduanya, lepas je habis bulan ni, kita semua akan sambut Hari Raya Aidilfitri.
Rasanya, ada diantara kita lebih suka pada sebab yang kedua tu…(haha). Walaupun begitu sebagai umat Islam, inilah bulan keemasan untuk kita memperbanyakkan kebaikan dan amal ibadah. Tapi bila tiba bulan Ramadhan jugak, kita tak terlepas dari bertanyakan beberapa persoalan dan kemusykilan. Tak kiralah tentang macam mana ibadah puasa itu dilaksanakan atau tentang perkara-perkara yang terjadi di dalamnya.
Oleh itu, kali ini SOSCILI akan menyenaraikan beberapa persoalan yang selalu timbul bila tibanya bulan puasa. Diharapkan penulisan ini akan dapat menjawab persoalan-persoalan yang selalu bermain di minda kita.
Sumber : SOSCILI.MY
Sumber : SOSCILI.MY
1. Boleh ke niat puasa untuk sebulan?
Setiap perbuatan itu perlu disertakan dengan niat. Itulah apa yang selalu kita dengar. Bagaimanapun muncul persoalan tentang ‘adakah boleh kita berniat puasa untuk sebulan terus?’. Sebenarnya, terdapat beberapa pendapat mengenai perkara ini.
Jika mengikut kebanyakan ulama, mereka berpendapat yang seseorang tu kenalah berniat setiap hari untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Ini kerana, mereka berpendapat bahawa ibadat puasa adalah terpisah di antara hari-harinya.
“Maksudnya, jika dilihat ibadat puasa serta rukunnya jelas ia terpisah. Ini kerana puasa itu bermula dari mula azan subuh hingga azan maghrib. Selepas azan maghrib hingga azan subuh kita tidak lagi berpuasa. Itulah yang dimaksudkan dengan ibadat yang terputus antara hari-harinya” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Perkara ini dikuatkan lagi dengan satu hadis sahih, di mana Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesiapa yang tidak berniat untuk melakukan puasa, sebelum fajar. Maka tidak ada puasa baginya.” – Hadis riwayat An Nasai, Ibnu Majah dan Abu Daud.
Bagaimanapun, terdapat juga pendapat yang mengharuskan niat puasa untuk sebulan. Ini kerana, mereka melihat kepada sifat bulan Ramadan itu sendiri yang mewajibkan setiap umat Islam (yang cukup syarat) untuk berpuasa.
Selain itu, dikatakan terdapat jugak kekeliruan tentang lafaz niat. Menurut Dr Asri (Mufti Perlis), niat pada asalnya tidak disebut iaitu tidak dilafazkan. Antara contoh terdekat adalah niat untuk solat. Ini kerana apa yang dikatakan tentang lafaz adalah lafaz takbir dan bukannya lafaz niat. Maknanya, niat pada asalnya tidak perlu dilafazkan dan kita hanya perlu sedar dan tahu yang kita ini akan berpuasa.“Hukum niat puasa sebulan adalah harus mengikut Mazhab Maliki. Maliki kata, puasa (bulan Ramadhan) ini ibadat yang bersambung. Walaupun 30 kali berbuka, ia dikira macam satu sahaja…Jumhur (majoriti) ulama kata, ibadat puasa ini dijalankan berasingan, maka kena niat setiap hari. Tapi kita masih boleh terima pendapat Maliki.” – Ustaz Azhar Idrus.
“Macam mana (niat itu)? Tak kiralah (caranya), jika dia ingat esok kena puasa, maka puasalah dia…Dia bangun sahur dan dia makan, dah tentulah dia nak berpuasa. Tak payahlah dia nak sebut ‘nawaitu sauma ghadin’. Dah tentu yang dia berniat nak berpuasa – Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.
2. Betul ke syaitan dirantai di bulan Ramadhan?
“Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Berpandukan pada hadis di atas, kita diberitahu bahawa pada bulan Ramadan ini pintu rahmat dibuka seluasnya dan syaitan-syaitan pulak dibelenggu atau dirantai. Menurut bekas Syeikh al-Azhar, Syeikh Jadul Haq, syaitan ni adalah makhluk Allah yang angkuh dan derhaka dari kalangan jin.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pendapat mengenai maksud sebenar hadis ini. Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani, maksud syaitan dibelenggu itu adalah apabila syaitan tak dapat nak goda manusia disebabkan ibadah puasa yang melemahkan nafsu manusia. Oleh itu, maksud sebenar perkataan ‘syaitan dibelenggu’ adalah hanya sekadar kiasan dan bersifat metafora.
“Diikat itu maksudnya adalah pergerakannya itu dibelenggu. Maksudnya susah untuk dia (syaitan) menguasai dan menggoda manusia, jika nak dibandingkan dengan waktu di luar bulan Ramadan…(Contohnya) dia nak suruh orang pergi panggung wayang, orang kata ini bulan Ramadan jadi tutup. Dia suruh orang buat yang lain pulak, orang tak nak buat sebab ini bulan Ramadan.” – Dr Zaharuddin Abd Rahman, Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pendapat kedua pula mengatakan hanya jin dan syaitan yang bengis je dibelenggu, manakala yang lain pulak masih kekal bebas. Imam Syafie antara ulama yang berpendapat seperti ini. Pendapat ke tiga pulak kata kalau betul pun semua syaitan dibelenggu, manusia tetap boleh buat maksiat kerana adanya nafsu yang boleh menggoda manusia melakukan apa yang disukai oleh syaitan.
3. Betul ke roh akan balik dan tak diseksa pada bulan Ramadan?
Kalau dilihat pada zaman dulu, bila tiba je 15 Ramadan rumah-rumah kat kampung akan diterangi dengan cahaya pelita. Kalau masa sekarang ni, ia mungkin lebih kepada cara untuk nak naikkan mood raya. Tapi sebenarnya, ada jugak dikalangan orang-orang dulu (mungkin ada sampai sekarang) yang percaya ia untuk meraikan roh-roh keluarga yang akan balik dan nak tengok anak-cucu diorang.
“Apa yang saya dengar daripada cerita orang tua-tua, apabila tiba sahaja bulan Ramadan, semua roh umat Islam akan berkumpul di Luh Mahfuz. Roh-roh ini akan memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke dunia namun tidak semuanya mendapat peluang tersebut.Roh yang baik, yang banyak amalan semasa hayatnya, dikatakan dibenarkan pulang manakala roh yang kurang amalan tidak dibenarkan kembali ke dunia.” – Cerita salah seorang penduduk kampung. Dipetik dari Kosmo.
Itulah cerita lisan dari mulut ke mulut yang didengar sejak sekian lama. Entah betul ke tidak. Menurut Dr Zaharuddin, roh sebenarnya tak boleh dan tak akan balik ke alam dunia. Ini kerana, perkara ini jelas diterangkan dalam al-Quran:
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (semula di dunia) Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” – Surah al-Mukminun ayat 99 dan 100.
Berkenaan dengan dakwaan roh tak diseksa di kubur pada bulan Ramadan pulak, Ustaz Azhar Idrus mengatakan yang ia sebenarnya tak mustahil terjadi. Bagaimanapun, tak ada nas yang mengatakan perkara itu dengan jelas. Cuma apa yang kita kena tahu dan yakin adalah bulan Ramadan merupakan bulan rahmat.
“Alam barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat. Roh yang memasukinya akan kekal di dalamnya…Ibarat bayi yang hidup di alam rahim, apabila lahir ke dunia, bolehkah bayi tersebut kembali ke alam rahim? Sudah tentu tidak.” – Allahyarham Tuan Guru Haron Din, dipetik dari Kosmo.
4. Berapa jumlah sebenar rakaat solat tarawih?
Inilah persoalan yang selalu muncul bila tibanya bulan Ramadan. Bila orang buat 20 rakaat ada yang kata tak ikut sunnah. Bila ada yang buat 8 rakaat je, dikata pulak malas. Jadi macam mana?
Solat tarawih ini boleh dilakukan secara bersendirian atau berjemaah. Ada cerita yang mengatakan Saidina Umar adalah orang pertama yang melakukan solat tarawih secara berjemaah. Sebenar perkara ini tak benar dan sebetulnya adalah Rasulullah SAW sendiri yang pertama kali menunaikan solat tarawih secara berjemaah. Seperti mana ia diceritakan dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Pada zaman Saidina Umar pula, beliau telah melantik 2 orang imam (yang juga adalah sahabat Nabi) untuk mengimamkan solat tarawih secara berjemaah. Kalau kita lihat pada riwayat yang kuat dan sahih, bilangan rakaat yang diperintahkan oleh Umar adalah sebanyak 11 rakaat. Tapi, ada jugak riwayat dari Imam Baihaqi yang mengatakan 20 rakaat. Bagaimanapun, riwayat ini agak lemah jika nak dibandingkan dengan riwayat 11 rakaat tadi.
“Namun begitu sebenarnya, syarak tidak pula menghalang untuk kita hadkan berapa bilangan rakaat solat tarawih ini. Bahkan, para ulama salaf sendiri ada yang kata 41, 39, 29, 19 dan pelbagai lagi pendapat bilangan sebenar rakaat solat tarawih. Tapi jika kita rujuk pada Nabi, baginda solat tarawih sebanyak 11 rakaat campur dengan solat witir.” – Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipertik dari Harian Metro.
Oleh itu, tak jadi masalah tentang jumlah sebenar rakaat solat tarawih ini. Walaupun begitu, ada juga negeri yang dah menetap jumlah rakaat solat tarawih di masjid atau surau masing-masing. Ia seperti apa yang diarahkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menetapkan 20 rakaat solat tarawih. Manakala di Perak pulak, Sultan mereka, Sultan Nazrin dah menitahkan supaya solat tarawih ditunaikan sebanyak 20 rakaat di masjid dan surau dalam negeri itu.
Tindakan ini diambil supaya tak berlakunya sebarang kekeliruan dan salah faham tentang jumlah rakaat solat tarawih. Bagaimanapun, masyarakat masih lagi bebas nak buat pilihan masing-masing sesuai dengan keselesaan mereka. Arahan 20 rakaat ini hanya ditujukan kepada masjid dan surau sahaja. Ini kerana ibadah solat tarawih ini hanya ibadah sunat dan bukannya wajib.
5. Bila berlakunya Nuzul Quran yang sebenarnya?
Kita di Malaysia ini, selalunya akan menyambut hari Nuzul Quran atau hari yang diturunkan al-Quran pada setiap 17 Ramadan. Tapi sebenarnya masih lagi berlaku perselisihan pandangan di kalangan para ulama berkenaan dengan bila turunnya mukjizat agung ini.
Bagimanapun, para ulama tak bercanggah pendapat tentang turunnya Quran pada bulan Ramadan. Ini kerana ia jelas tercatat di dalam surah al-Qadr yang mengatakan al-Quran turun pada Malam Lailatul-Qadar.
“Quran diturunkan pada Malam Lailatul-Qadar. Lailatul Qadar ini berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Maka mejoriti para ulama berpendapat, Quran ini turun pada 10 malam terakhir Ramadan…Ada sebahagian riwayat mengatakan 24 Ramadan. Tapi mejoriti ulama berpendapat antara 10 malam terakhir itu.” – Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.
Walaupun begitu, muncul jugak persoalan tentang macam mana boleh adanya hari Nuzul Quran, sedangkan Quran itu diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW. Ada beberapa pendapat ulama mengenai perkara ini. Antaranya adalah Nuzul Quran bermaksud turunnya Quran dari Baitul Izzah (langit pertama) ke langit dunia. Ini bermakna Quran itu pada asalnya memang sudah sedia ada di sisi Allah dan hanya selepas itu barulah ia diturunkan kepada Rasulullah secara berperingkat.
“Sebahagian ulama pula mentafsirkan yang ia adalah tentang bila kali pertama ayat Quran itu turun. Yakni, ia turun kali pertama ketika Nabi Muhammad di Gua Hira’. Mereka tafsirkan peristiwa di Gua Hira’ itu berlaku pada bulan Ramadan. Apa yang penting, Quran memang diturunkan pada bulan Ramadan.” – Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.
Sebenarnya, dari membincangkan tentang bila turunnya al-Quran, adalah lebih baik untuk kita memahami dan menghayati isi sebenar al-Quran. Ini kerana, pemahaman kepada Quran lebih utama daripada kita membicarakan perkara yang sia-sia.
Kita kena manfaatkan bulan Ramadan ni dengan sebaiknya
Walaupun kita diberitahu yang bulan Ramadan ini adalah bulan rahmat. Tapi setiap bila tibanya bulan Ramadan kita dilaporkan dengan berita tentang pembaziran makanan yang cukup banyak. Pada tahun 2015, dilaporkan rakyat Malaysia membuang 270,000 tan makanan yang ‘tak diusik’ dan boleh dimakan semula sepanjang bulan Ramadan.
Matlamat Ramadan yang pada asalnya hendakkan umat Islam bersyukur dan menumpukan perhatian untuk beribadah kepada Allah nampaknya tak dijalankan dengan baik oleh umat Islam di Malaysia. Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita sedar dan menghayati erti sebenar bulan yang dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.” – Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Malah, di dalam bulan ini juga terdapatnya malam yang lebih baik dari seribu bulan (Lailatul-Qadar). Oleh itu, umat Islam kenalah bersedia memberikan sebaik tumpuan dalam mengumpul pahala. Dalam waktu yang sama, kita jugak kena berhati-berhati dari menyebarkan mana-mana maklumat yang salah tentang bulan Ramadan. Sebelum ni, agak terkenal jugak dengan penyebaran hadis palsu berkenaan fadhilat solat tarawih mengikut hari.
Oleh itu, diharapkan bulan Ramadan kali ini menjadi bulan yang lebih bermakna kepada kita semua. Semoga kita jugak dipilih sebagai salah seorang hambaNya yang berpeluang menemui Lailatul-Qadar. Insyaallah.
loading...