loading...
Beliau semasa Perang Dunia Pertama di Galipoli |
Pengalaman pertama perangnya ialah ketika serangan Itali keatas Libya. Walaupun Uthmaniyah kalah, Mustafa membuktikan dirinya sebagai salah seorang komander yang baik. Ketika Perang Balkan Pertama tenteranya ditewaskan oleh musuh yang lengkap bersenjata dan Uthmaniyah kehilangan banyak kawasan di Eropah termasuk Edirne. Tetapi Mustafa diberikan kepercayaan untuk menawan kembali Edirne selepas Bulgaria memulakan Perang Balkan Kedua pada 1913. Selepas berakhirnya Perang Balkan Kedua, Uthmaniyah dan Bulgaria menandatangani perjanjian pertahanan dan Mustafa dihantar ke ibu negara Bulgaria, Sofia sebagai wakil tentera.
Jawatannya sebagai wakil tentera Uthmaniyah berakhir selepas Uthmaniyah menyertai Perang Dunia Pertama. Ketika pertempuran Galipolli lah Mustafa berjaya menaikkkan popularitinya. Tentera Entente (ANZAC) ditugaskan menawan kawasan tinggi di Cunuk Bair. Walaupun pada mulanya tentera ANZAC berjaya menawan Cunuk Bair, Mustafa dan penasihat tentera dari Jerman, Otto Liman von Sanders, berjaya menawan kembali Cunuk Bair yang menyebabkan Entente tidak lagi meneruskan usaha menawan Semenanjung Galipolli. Sebagai menghargai jasa Mustafa didalam kempen Galipolli, beliau diberikan gelaran Pasha oleh Sultan, dan pujian daripada sekutu.
Mustafa meneruskan kempennya di Caucasus pada 1917 menentang Rusia. Rusia pada mulanya berjaya menawan Bitlis dan Mus dari Uthmaniyah tetapi serangan balas oleh Mustafa berjaya menawan semula Bitlis dan Mus serta berjaya menjatuhkan moral tentera Rusia yang ketika ini sedang bergelut dengan masalah dalaman. Beliau dihantar ke Palestin bagi mempertahankan Baitulmaqdis daripada British. Ketika ini beliau diletakkan dibawah bekas ketua turus Tentera Jerman, Erich von Falkenhayn dan tentera ini dinamakan Tentera Yildirim. Mustafa berang dengan kerajaan Uthmaniyah kerana kekurangan bekalan bagi menghadapi bala tentera British dan permintaan untuk berundur selalu tidak dibenarkan. Akibat ini juga Mustafa dihantar pulang ke Istanbul dan beliau menjadi penjaga kepada Putera Mehmed iaitu bakal Sultan Uthmaniyah untuk melawat Vienna dan Berlin. Mustafa sempat melawat parit Jerman di Perancis.
Selepas Putera Mehmed dilantik menjadi Sultan Uthmaniyah, beliau dihantar kembali ke Palestin. Ketika ini posisi tentera Uthmaniyah amat goyah dengan kekurangan dari segi tentera dan bekalan senjata. PD1 akhirnya berakhir pada November 1918. Dengan berakhirnya PD1, beberapa bandar besar seperti Izmir, Bursa, dan bandar lain termasuklah Istanbul sendiri dibahagikan oleh negara Entente selepas Perjanjian Mudros 1919. Pendudukan tentera asing ini menaikkan semangat nasionalis Turki dan mendorong kepada Perang Kemerdekaan Turki 1919-1922.
Mustafa dilantik menjadi ketua tentera kemerdekaan Turki. Pada mulanya tentera ini tidak mempunyai banyak senjata selepas banyak senjata dirampas oleh tentera Entente. Mustafa mengetuai delegasi ke Moscow bagi mendapatkan bantuan daripada Soviet. Soviet yang masih lagi berdendam dengan negara Entente kerana sokongan mereka terhadap kerajaan monarki Rusia bersetuju membantu tentera kemerdekaan Turki ini dari segi kewangan dan senjata. Selain itu Mustafa turut berjaya mendapatkan sokongan Itali yang tidak berpuas hati dengan wilayah yang diperoleh. Itali melatih dan membekalkan senjata. Selepas memperoleh kekuatan, Mustafa mengetuai serangan keatas Izmir yang ketika ini dikuasai oleh Greece. Greece yang walaupun mendapat pelbagai bantuan daripada British gagal menyekat kemaraan Mustafa dan tenteranya. Akhirnya pada 1923, Perjanjian Sevres digubal menggantikan Perjanjian Mudros dan Republik Turki ditubuhkan. Sultan Uthmaniyah terakhir dihalau dan Mustafa dilantik menjadi Presiden Pertama Republik Turki. Selepas dilantik menjadi presiden, Mustafa diberikan gelaran Ataturk iaitu Bapa Turki didalam bahasa Turki. Sepanjang menjadi presiden Turki, pelbagai pemodenan dibuat dan Turki menjadi negara sekular serta membina hubungan diplomatik dengan banyak negara seperti Nazi Jerman dan Soviet Union serta negara lain. Beliau akhirnya meninggal dunia pada 10 November 1938.
Legasinya masih kukuh di Turki sehingga ke hari ini walaupun gerakan Neo-Ottoman semakin popular.
loading...