Umum

AKU NAK BANTU ORANG SUSAH SEBELUM AKU MATI – KUAN CHEE HENG

loading...


AKU NAK BANTU ORANG SUSAH SEBELUM AKU MATI – KUAN CHEE HENG

KUAN Chee Heng ni tak perlu diperkenalkan lagi. Ada orang panggil dia ‘Hero Malaya’. Ada orang panggil dia ‘Mr Potato’. Kalau tak tahu orang ingat dia ni ‘apek’ biasa-biasa saja…gemar pakai t-shirt dan seluar pendek.
Namun di sebalik itu, Kuan mempunyai hati budi yang ‘luar biasa’ kerana sanggup buat apa saja demi mereka yang tidak berkemampuan.
Paling menarik, dalam bab kemanusiaan, Kuan tidak pernah meletak agama, keturunan dan warna kulit untuk menghulurkan bantuan.
Lelaki berbadan gempal dan berumur 54 tahun ini tak boleh langsung dengar kalau ada orang susah, orang sakit dan orang yang ditimpa musibah – sekejap saja dia akan sampai!
Di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Puchong, Selangor, Kuan bagaikan seorang wakil rakyat walaupun bukan bergelar YB.
Disebabkan keluhuran hatinya, Kuan cukup terkenal baik di kalangan masyarakat berbilang kaum tetapi juga dalam media sosial. Dalam Facebook saja, pengikutnya mencecah lebih 200,000 orang!
Namun Kuan tetap Kuan. Walaupun namanya menjadi sebutan di sana sini, dia tetap ‘sempoi’ dan meneruskan ‘tabiatnya’ membantu sesama insan dengan caranya yang tersendiri.
Aku sendiri walaupun dah lama ‘bersahabat’ dengan Kuan dalam Facebook, namun aku tak pernah jumpa batang tubuh yang berasal dari Kampung Bukit Chermai, Batu Pahat, Johor ini.
Dipendekkan cerita, petang tadi aku mendapatkan nombor telefonnya dari wartawan Sinar Harian, Farhana. Bila aku menghubungi Kuan aku ingat dia tak kenal aku, rupanya dia juga ‘follower’ tegar Facebook aku, ahaks!
Temujanji pun diatur. Kami kemudiannya bertemu di sebuah restoran mamak dekat Puchong Utama, Selangor. Macam biasa, Kuan datang datang dengan t-shirt kolar bulat dan seluar pendeknya.
Aku memulakan perbualan dengan bertanyakan, apa yang membuatkan dia menjadi begitu ‘pemurah’ dan sanggup berhabisan demi membantu mereka yang miskin dan susah ini.
” Aku asal orang miskin. Keluarga aku orang susah jadi aku dapat rasa betapa sukarnya jika hidup dalam kemiskinan. Ramai orang ingat aku cari publisiti apatah lagi bila aku yang Cina ni bantu orang Melayu.
” Tapi aku peduli apa cakap orang, orang yang tuduh aku macam tu adakah dia boleh buat macam mana yang aku buat, kalau mereka boleh, ambil saja kerja aku ni, pergi bantu, tak perlu kata macam-macam.
” Nak bantu orang tak perlu nak rasis. Cina ke, India ke, Melayu ke kita bantu sajalah kalau mereka susah. Lagipun kita semua anak cucu Adam dan Hawa, sama saja,” katanya.
Untuk rekod, Kuan pernah buat ‘gila’ apabila menganjurkan pasar sepuluh sen di Bukit Jalil. Di pasar tersebut, peti ais, televisyen, baju, beg, kasut, penghawa dingin, kipas dan pinggan mangkuk berjenama sumbangan orang ramai hanya dijual sepuluh sen kepada mereka yang tidak berkemampuan.
Terbaru, Kuan juga buat ‘gila’ apabila berjaya mendapatkan tiga buah ambulan untuk golongan miskin yang perlu mendapatkan rawatan di hospital. Kadar bayaran ambulan ini juga sama – hanya sepuluh sen!
Sebelum beliau berjaya mendapatkan ambulan berkenaan, Kuan turut menyediakan perkhidmatan teksi untuk mereka yang nak mendapatkan rawatan di hospital dengan bayaran yang sama iaitu sepuluh sen.
Selain membantu mereka yang miskin, Kuan juga cukup ‘pantang’ mendengar kes-kes jenayah. Dia yang pernah bertugas sebagai anggota polis selama enam tahun telah menubuhkan Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia. Kini ahlinya lebih 100,000 orang di seluruh Malaysia.
Kuan dan ahli-ahlinya pernah membantu polis menyelesaikan kes jenayah berat seperti pembunuhan, rogol, gangsterisma dan penipuan melibatkan kerugian beratus ribu ringgit.
” Ugutan ni dah biasa sangat aku terima. Peluru pun pernah dihantar ke rumah aku tetapi sikit pun aku tak takut. Kita semua ada Tuhan, kita hanya perlu takut pada Tuhan saja. Setakat hantar peluru aku dah tak hairan bahkan aku cabar mereka yang buat macam tu supaya hantar peluru yang ‘besar’ sikit, maklumlah, akukan gemuk,” katanya sambil ketawa.
Berbual dengan Kuan membuatkan kita terpesona sehinggakan tak sedar lebih dua jam aku mewawancara lelaki berusia 54 tahun.
Sebelum mengakhiri perbualan, Kuan berkata, kalau nak diikutkan dengan kegiatan perniagaan yang beliau usahakan, dia tak perlu susahkan diri untuk terlibat dalam kegiatan kesukarelawan sebegini.
Malah katanya, adakalanya dia terpaksa gunakan dulu duit simpanannya untuk membantu mereka yang memerlukan.
” Aku nak bagitahu satu benda sajalah. Kita ni hidup tak lama. Apa salah kita buat ‘saham akhirat’. Jangan takut untuk membantu kerana Tuhan akan balas balik dengan membantu kita…adakalanya Tuhan bagi kita untung dalam perniagaan, adakalanya Tuhan bagi dalam bentuk idea dan buah fikiran.
” Aku sendiri sejak melibatkan diri bantu orang susah, ada saja individu dan syarikat besar yang nak bersama-sama aku untuk membuat kerja-kerja amal sebegini. Sekurang-kurangnya bila aku mati, adalah sikit legasi atau benda baik yang aku tinggalkan.
” Lagi satu benda aku nak bagitahu, kita hidup jangan susah hati, kena sentiasa ceria. Aku nak bagitahu kau, antara cara aku hilangkan stress adalah membaca terjemahan Al-Quran. Walaupun bukan Islam, aku suka baca terjemahan kitab itu kerana banyak benda baik yang aku boleh belajar dan dapatkan panduan daripadanya,” kata Kuan sebelum mengakhiri perbualan kami.
SALUTE!
SUMBER : Syahril Kadir
loading...

About Unknown

Powered by Blogger.